2/27/2011

Hadapi Pilihanraya dengan Akhlak Islami

1. Kita adalah mewakili Gerakan Islam yang menyertai politik berpilihanraya dalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi. Biarpun ruang demokrasi itu kian sempit namun perjuangan untuk meloloskan Islam dari kepungan jahiliyah moden hari ini mesti diteruskan walau dengan apa cara sekalipun selama mana cara dan kaedah itu diizinkan oleh syara' .


2. Justeru itu, penyertaan dan penglibatan kita dalam pilihanraya bukanlah didorong oleh rasa ingin berpilihanraya semata atau didesak keinginan untuk mendapatkan kuasa dan pengaruh semata, sebaliknya ia adalah didokong oleh prinsip untuk menjulang Islam dan segala syariatnya agar menempati ruang yang selayaknya sebagai cara hidup [ way of life ] pula mengatasi kedudukan ideologi ciptaan manusia.

3. Bertolak dari nokhtah ini, partisipasi kita dalam seluruh kegiatan politik tanahair hari ini adalah satu ibadah atau pengabdian diri kita kepada Allah swt. Justeru itulah, kita bertanggungjawab pula untuk memastikan setiap langkah kita dalam sebarang aktiviti politik ini, samaada dalam aspek menggaris matlamat, melakar objektif, merencana strategi dan mengurus operasi, segalanya mestilah berlandaskan syariat dan akhlak Islami.

4. Tindakan yang dihambat emosi, dihasut nafsu dan dirasuk dendam adalah suatu yang mesti dielakkan dalam gerak langkah kita berkempen dan mencari sokongan politik. Bahkan apa yang wajar dan sayugianya ialah setiap pimpinan dan ahli PAS mempamerkan qudwah yang unggul dan uswah yang luhur mencerminkan bayangan akhlak terpuji didikan Rasul saw.

5. Jauhkan diri dari politik maki hamun dan caci nista biapun saat mendepani provokasi luarbiasa dari pihak lawan. Kekalkan rentak berakhlak sekalipun dilatari kebingitan melampau yang mencabar rasa dan cita kita sepanjang tempoh perjuangan, khasnya di saat mendepani detik pilihanraya umum atau kecil.

6. Bukankah Allah swt mewahyukannya kepada kita semua :

فبما رحمة من الله لنت لهم ولو كنت فظا غليظ القلب لانفضوا من حولك فاعف عنهم و استغفر لهم و شاورهم في الأمر فإذا عزمت فتوكل على الله إن الله يحب المتوكلين

Maka dengan sebab Rahmat [yang melimpah] dari Allah swt [kepadamu Wahai Muhammad], Engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka [sahabat-sahabat dan pengikutmu], dan kalaulah Engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka [mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu], dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah Dengan mereka dalam urusan [peperangan dan hal-hal keduniaan] itu. kemudian apabila Engkau telah berazam [Sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu] maka bertawakalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.

Surah Aali Imran : 159

7. Ayat ini sebahagian dari strategi penting yang perlu dilaksana dan dihayati untuk menghasilkan kesan mendalam dalam urusan kempen kita sepanjang tempoh pilihanraya. Sementara umum mengetahui bahawa pilihanraya adalah berkait dengan undi yang ingin diperolehi dari rakyat atau pengundi. Maka ia memerlukan satu pendekatan yang lunak dan meyakinkan pengundi untuk mereka hampir dengan kita lalu memberikan undinya kepada kita.

8. Pilihanraya bukan medan peperangan untuk menghunus senjata tajam seumpama pedang guna memenggal leher lawan dan menebas betis penghalang, tetapi pilihanraya adalah gelanggang untuk memenangani hati pengundi agar memberi peluang serta kepercayaan kepada kita untuk memimpin dan mewakili mereka dalam satu - satu kawasan pilihanraya yang ditandingi.

9. Akhlak menjadi senjata berkesan di medan pilihanraya justeru ia berkait dengan usaha konsisten untuk memenangi hati pengundi. Memenangi pilihanraya, kita perlukan undi dari semua pihak sekalipun bukan dari kalangan kita. Maka hal ini hanya boleh dicapai apabila kita berjaya memenangi hati dan meyakinkan mereka untuk memberi sokongan kepada kita. Hanya akhlak mulia [ Islami ] yang boleh memenangi hati manusia. Caci nista pula menjauhkan kita dari mereka dan menjarakkan mereka dari kita.

10. Kawal diri dan kekang emosi terutama saat berdepan provokasi. Marilah kita bina suasana politik baru yang berteraskan politik Rasulullah saw. Terutama pada hari perarakan penamaan calon dan hari akhir sewaktu merayu undi, sekali lagi saya seru agar elakkan diri dari melontarkan kalimah dan slogan yang tidak mencerminkan ketinggian budi dan akhlak muslim. Berwatak matanglah dalam memimpin slogan serta aksi tanpa mencemuh pihak lain. Pilih slogan yang boleh menaikkan semangat juang dengan penuh hemah.
READ MORE - Hadapi Pilihanraya dengan Akhlak Islami

Himpunan 500K BERSIH 2 pada June 2011

1. Negara kita masih menyaksikan kepincangan ketara dalam amalan demokrasi. Bukan sahaja dipentas politik negara malah kepincangan serupa turut melanda politik kampus. Bermula dari pengendalian sistem demokrasi yang berat sebelah, tidak adil dan tidak telus telah menimbulkan keresahan berpanjangan dari rakyat dalam negara kita. Saya percaya tragedi yang berlaku di UPM baru - baru ini pun bermula dari keresahan serupa yang turut dirasai oleh para mahasiswa.

2. Pada 10 November 2007 yang lalu, rakyat telah meledakkan kebangkitan menuntut sebuah demokrasi yang bersih dalam satu himpunan 100,000 rakyat yang dikenali sebagai himpunan BERSIH. Beberapa tuntutan yang telah dibuat dalam himpunan BERSIH yang pertama tempohari masih dibekukan begitu sahaja oleh pihak berwajib. Antara tuntutan tersebut ialah :

  • Penggunaan Dakwat Kekal kepada pengundi
  • Pembersihan daftar Pemilih
  • Pemansuhan Undi POS
  • Kebebasan media

3. Saya melihat secara dekat perkembangan demokrasi dalam negara kita masih tidak benar - benar telus dan bebas dari sebarang manipulasi seperti undi pos yang masih diamalkan dalam sistem demokrasi negara kita. Malah undi pos benar - benar dijadikan tali hayat pihak pemerintah untuk mengekalkan survival kuasa mereka . Demikian juga kebebasan media yang kian parah.

4. Saya yakin seluruh rakyat dalam negara kita dapat saksikan kepincangan ini, apabila media elektronik dan cetak negara kita seperti RTM dan Utusan Malaysia serta Berita Harian diguna sepenuhnya secara tidak adil untuk berkempen sebelah pihak iaitu pihak UMNO dan BN sedang RTM dan Utusan Malaysia atau Berita Harian ini tidak pula diisytiharkan sebagai media rasmi atau buletin rasmi parti UMNO dan BN .

5. Saya mewakili Dewan Pemuda PAS Malaysia sekali lagi mendesak dan merayu supaya kerajaan memberi perhatian serius terhadap perkara ini sebelum berlangsungnya pilihanraya umum ke 13 akan datang. Hanya keadilan , ketelusan dan kesaksamaan dalam sistem pengendalian demokrasi negara ini akan menjadi rakyat tenang dan akur menerima keputusan pilihanraya, samaada menang atau kalah. Andai sistem pengendalian demokrasi negara masih pincang dan dilihat terlalu banyak kelemahan di sana dan sini, keputusan pilihanraya akan mencetus rasa tidak puas hati dan menganggu kesejahteraan serta keharmonian rakyat .

6. Desakkan dan rayuan ini adalah serius. Kami sudah penat bertolak ansur dan bertarik tali dengan pihak kerajaan dalam menuntut keadilan serta ketelusan dalam sistem demokrasi negara ini. Sungguhpun kerajaan UMNO dan BN benar - benar nekad mahu mempertahankan survival kuasa dan pengaruh mereka , maka pertahankanlah ia dengan bermaruah dan berhemah. Iaitu melalui satu sistem pengendalian demokrasi yang telus, adil dan saksama. Bukan melalui sistem saingan demokrasi yang berat sebelah.

7. Kami memberi tempoh sehingga menjelang 1 Mei 2011 ini untuk kerajaan memberi komitmen lalu memulihkan sistem demokrasi pincang yang kita hadapi dalam negara kita hari ini. Andai desakan dan rayuan ini tidak dipeduli oleh pihak kerajaan, kami dari Dewan Pemuda PAS Malaysia telah memberi komitmen untuk menyahut seruan Yb Al Fadhil Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang selaku Presiden PAS bahawa satu lagi rally atau himpunan BERSIH digerakkan.

8. Kali ini, insyaallah saya percaya dan yakin, sekurang - kurangnya setengah juta rakyat [500,000] akan bangkit secara aman namun penuh tegas untuk memohon dan mendesak agar kerajaan mahu atau tidak mesti memastikan sistem pengendalian demokrasi negara benar - benar adil dan telus kepada semua parti yang bertanding dan melibatkan diri dalam pilihanraya.

9. Saya meletakkan jangkaan tarikh awal untuk BERSIH 2 ini ialah pada bulan June 2011 [ sabtu ] jika sekiranya menjelang 1 Mei 2011 ini, kerajaan masih gagal untuk meyakinkan rakyat dengan satu komitmen untuk memastikan sistem pengendalian demokrasi negara benar - benar dipulihkan serta bebas dari sebarang ruang manipulasi serta kepincangan.

10. Saya ulangi tanpa sikap teragak - agak demi kebaikan kepada seluruh rakyat dan negara agar kerajaan benar - benar serius dan memahami tuntutan kami sebagai rakyat dan anak - anak muda khasnya yang mahu menyaksikan perubahan besar berlaku dalam negara ini. Andai tuntutan diterima dan dilaksanakan , kami benar - benar mengucapkan terima kasih namun jika sebaliknya, berbanyak maaf kami pinta bahawa kami khasnya anak - anak muda, dengan Nama Allah swt Tuhan Yang Maha Perkasa lagi Maha Adil, akan bangkit sekali lagi menuntut hak kami sebagai rakyat yang merdeka pada bulan June 2011 dalam Himpunan 500K BERSIH 2 kelak .


Murnikan Perjuangan Maknakan Kemenangan.

Nasrudin bin Hassan

Ketua DPP Malaysia


READ MORE - Himpunan 500K BERSIH 2 pada June 2011

2/24/2011

25 TAHUN MEMALI



Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim antara tokoh yang akan mewarnai sambutan Majlis Memperingati 25 Tahun Memali.

Setiausaha Pemuda PAS Kedah, Ustaz Mohd Rosli Azmi berkata, perasmian majlis tersebut akan disempurnakan Tuan Guru Abdul Hadi, malam ini, jam 9 malam. Turut menyampaikan ucapan ialah Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dan Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Hassan at-Tantawi dipetik Harakah Daily Online.

Manakala Anwar akan mengisi pentas pidato pada hari kedua program, 20 November bersama Timbalan Pesuruhjaya I dan Ketua Penerangan PAS Kedah, Datuk Ir Phahrolrazi Mohd Zawawi dan Datuk Ir Amiruddin Hamzah.

Pada malam terakhir, ceramah akan disampaikan oleh Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub; Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Azman Shapawi Abd Rani dan Ahli Jawatan Kuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu.


para syuhadah memali

Pelbagai acara akan dilangsungkan sepanjang majlis tiga hari itu antaranya konvoi Pemuda, persembahan nasyid dan pentomen, tahlil perdana, acara Pasti, Klinik Smart Solat, Ijtimak Ulama dan Guru-guru Pondok serta Ijtimak Pelajar Memali.

Turut diadakan juga adalah pameran Memali dan Pendidikan Islam Kedah, kaunter pemeriksaan kesihatan dan perubatan percuma, kaunter daftar pemilih, kaunter keahlian PAS dan Sukarelawan Pemuda PAS Kedah serta gerai-gerai jualan.

Sehubungan itu, orang ramai dijemput hadir ke program tersebut yang akan dilangsungkan di Madrasah Islahiah Diniah dan perkarangan rumah As-syahid Ustaz Ibrahim Libya di Kampung Memali.- tvs

Note: Inilah salah satu diantara kerja mulia umno terhadap umat islam Malaysia. Ingatlah para penyokong umno.. anda semua turut mendapat saham. anda akan dituntut di akhirat nanti.


Ka’ab bin Ujrah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Akan datang di kemudian hari nanti, setelah aku tiada; beberapa pemimpin yang berdusta dan berbuat aniaya. Maka barang siapa yang membenarkan kedustaan mereka dan membantu (mendukung) tindakan mereka yang aniaya itu, maka ia bukan termasuk umatku, dan bukanlah aku daripadanya. Dan ia tidak akan dapat sampai datang ke telaga (yang ada di syurga).- Riwayat Tirmidzi, Nasae’i dan Hakim.
READ MORE - 25 TAHUN MEMALI

DARIPADA HIDUP BERCERMINKAN BANGKAI - IBRAHIM LIBYA

Ibrahim Libya: "Daripada hidup bercerminkan bangkai ...". Ikuti cebisan kisah peristiwa bersejarah Memali


Asap putih menyusur di celah dedaun pokok nan rimbun itu. Kepulan yang naik menjulang langit, menutupi sebahagian hadapan rumah papan. Kiri kanan tingkap terbuka lebar, memuntahkan haba panas yang mencengkam rasa. Pedih mata, tak terkata hingga nafas tercungap-cungap dada.

Asakan gas bertubi-tubi terus dilemparkan dan dihalakan ke arah susuk-susuk tubuh yang sudah tidak keruan. Asalnya, mereka sekadar terpacak di balik pagar buluh, di ruang laman. Sebuah kereta perisai, gah berada sejengkal dari mereka sambil menghalakan muncungnya tepat kepada mangsa.

Keributan dan kekalutan dasyat pagi itu, disaksikan fajar yang baru terbit di alis awan dengan iringan sejumlah ketumbukan lebih 3,000 anggota keselamatan yang mengepung kawasan. Orang kampung, hanya mampu mengetap bibir sambil melihat dengan pandangan yang berkaca.

Tidak lama kemudian, tragedi menghayat hati pun memulakan kisah lukanya. Saat itu, sebiji kelongsong peluru gas pemedih mata menghentak buju dahi gadis comel Naziah Hassan, 12 yang berada di situ. Memercik darah merah menyala dan dia akhirnya rebah serta-merta.

Shafie, seorang guru yang melihat kelibat Naziah yang jatuh ke tanah, sudah tidak dapat menahan pilu, lalu membungkam rasa geram yang sudah membuak-buak akibat kecelakaan itu. Dia langsung melompat pagar lalu meluru ke arah pasukan yang sudah siap siaga.

Dia berhenti lalu melaungkan takbir, sambil menghunus pedang. Belum sempat, nafas dihidu, dua das tembakan tepat mengena tubuhnya, yang kemudiannya longlai menyembah bumi Memali. Tubuhnya, syahid pertama dipanggil Illahi.
Kemudian, di ruang tingkat atas rumah yang masih bermain dengan asap dan bau busuk gas puaka, Abdullah Che Soh sedang bertahan, cuba mengangkat tangan untuk meleraikan keadaan dan minta tidak diapa-apakan. Beliau mengepung dua anggota keselamatan supaya menghentikan tembakan.

Tersalah atur, Abdullah yang dikenali sebagai Pak Tam dihujani peluru tak bermata. Bukan satu tetapi tujuh. Dua tembakan di dada, dua di lengan dan dua di telapak tangan. Yang terakhir tertusuk di kiri pinggangnya, yang membuatkan Pak teh mula berpinar-pinar dan tersungkur. Darahnya basah di seluruh badan.

Ketika sekujur tubuhnya berada di laman, Pak Tam tak mampu membuka kelopak matanya yang sudah mula direnjis renyai-renyai hujan, yang berkabung mendung.Darahnya mengalir laju, disirami gerimis pagi itu.

Abdul Rahim Waboh yang berada di belakang rumah terpaksa meniarap, lantaran tembakanbersimpang-siur mencari nyawa. Dia asalnya mahu ke kebun getah sejurus mendengar kuliah subuh Ustaz Ibrahim Libya, terpinga-pinga sambil menyelamatkan diri.

Lain pula dengan Azmi Haji Salim dan Mat Ramli Che Mit, masing-masing berhati kental berhadapan dengan pasukan keselamatan di batas sawah.

Azmi dengan hanya berbekalkan buah-buah guli sekarung yang tersisip di pinggangnya tidak teragak-agak melastik anggota yang melepaskan tembakan. Kena ataupun tidak, dia tidak peduli sehinggalah muncung senapang rapat ke mukanya, tanda perlu menyerah diri serta-merta.

Manakala Mat Ramli yang pada mulanya cuba menghalang anggota keselamatan daripada mara ke hujung jalan rumah Ustaz Ibrahim, terpaksa meredah hutan berundur diri.

Kemudian anak Azmi dikenali Mohd Zahir,13 yang menyusup dengan guni basah bergerak seiring dengan anggota keselamatan, akhirnya ditangkap sambil dihayun penumbuk ke mukanya sehingga berdarah. Kemudian ceritanya, dia dihumban ke dalam trak.

Di celah semak dan timbunan kayu, seorang anak muda Muhammad Ahoiri memerhati dari jauh. Dia sudah tidak dapat menahan sebak, mengalir air mata semahunya. Di pandanganya terlihat ayah dan adiknya diseret ke penjuru jalan.
Kemudian dia melihat beberapa sahabatnya seorang demi seorang sujud tak bernyawa lagi. Antara yang jelas ialah Razki dan Ghazali yang sebentar tadi baru sahaja mengunyah sarapan pagi dengannya di perdu pisang berhampiran rumah Ibrahim.

Masing-masing menjamah nasi goreng, sambil menitip nasihat akidah dan tauhid kepada Ahoiri. "Niat dan buatlah bersungguh-sungguh kerana Allah, dan jika mati kita tidak sia-sia...insya-allah syahid hendaknya."
Kata-kata mereka berdua, terakam kemas diingatan dan kini, mereka mendahuluinya menemui tuhan. Ahoiri, tidak mampu lagi mengesat air matanya yang sudah menumpah.

Di anjung rumah, mula kedengaran esakan tangisan yang memilukan. Anak-anak kecil sedang meratapi dan memeluk tubuh ayah mereka nan kaku. Si-ibu sudah tak terkata apa-apa, lantas mengucup dahi insan yang dicintai, merelakan pergi dengan air mata basah di pipi.

Babak sayu itu tidak terhenti di situ. Selagi batang tubuh Ustaz Ibrahim Libya tidak menyerahkan diri, selagi itulah muntahan senjata dan rempuhan demi rempuhan terus berlaku.

Ibrahim yang ketika itu berada di sebalik tiang berhampiran dinding rumah, tidak berganjak dengan nawaitu pendiriannya yang kejap dan tegas. Tak akan menawar dan menggadaikan diri untuk Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
"Daripada hidup bercermin bangkai, lebih baik bergalang tanah," kata-kata hikmat yang dingati sebilangan besar anak muridnya.

Ibrahim makin tidak dapat menerima alasan, beliau dianggap penjenayah, pengganas dan guru ajaran sesat. Selama ini, kerjanya dan amalnya semata-mata mentauhidkan Allah. Dan subuh tadi sebelum tragedi ini, selesai solat beliau menyampaikan kuliah akidah.

Serangan seterusnya menyasarkan Ibrahim tanpa amaran. Dua peluru daripada anggota keselamatan pantas meluru memamah dada dan perut Ibrahim. Percikan darah mula menyimbah. Di tengah ruang itu, anak bongsu Ibrahim, Norsyuhada sudah lama rebah dek kerana pengsan terhidu gas pemedih mata.

Kemudian tubuh Ibrahim diusung ke penjuru dapur rumah. Di pangkuan isterinya Solehah, beliau tidak henti-henti menyebut kalimah Allah dan akhinya doanya diserap langit nan tinggi, gugur syahid mengadap Illahi.

Beliau kembali menemui tuhannya bersama 13 sahabatnya yang lain, yang turut menyembah bumi. Dan hari itu, tanggal 19 November 1985, maka sejarah hitam penuh nanah terpahat dalam lipatan penuh kelam. Awan dingin memayungi kampung Memali dengan rembesan air yang senada tangisan makhluk di bawahnya.

Kemudian kisah seharian itu melabuhkan tirainya pada petang itu.
Gelimpangan jenazah kemudiannya diangkat. Ramai digari dan disusun rapi berarak ke atas trak. Kemudian disumbat ke penjara di serata tempat. Yang cedera dan darah masih merah pekat, diikat dan dibawa ke hospital untuk dirawat. Kampung itu masih dikepung dan di bawah perintah darurat.

Dua hari kemudian, Almarhum Ustaz Fadzil Noor Presiden PAS ketika itu bersama pendokong perjuangan Islam yang lain sudah bersiap sedia menguruskan jenazah yang berada di rumah mayat sejak peristiwa pedih itu. Tatkala mengangkat satu persatu jenazah itu,daripada bilik simpanan beku, terasa hangatnya lagi darah yang mengalir.

Dengan van buruk, mereka membawa jenazah syuhada itu ke Masjid Parit Panjang, yang jauhnya 15 kilometer daripada tempat kejadian yang sudah disekat masuk dan dihalang untuk sebarang pengebumian dilakukan.

Dan 13 syuhada itu kemudiannya dilayan selayaknya seorang syuhada, disimpan dan dikebumikan dalam keadaan darah masih merah mengalir di tubuh, menjadi saksi kepada Pencipta Langit dan Bumi. Salah seorang syuhada pula dikebumikan di kaki gunung di Alor Melintang.

Tanah kubur Pasir Panjang kemudian memeluk erat pejuang Memali itu yang antaranya terdiri daripada seorang guru, ustaz, enam penoreh getah, pegawai agensi kerajaan, pemandu teksi, penjual buah, pekebun dan bekerja sendiri. Lalu, hari-hari kemudiannya menjadi sepi dan menyiat hati sanubari.

Maka lengkaplah misi. Biar apapun alasan, yang penting operasi mereka selesai. Sebenarnya kisah tragis mengorbankan banyak nyawa tak berdosa, lantaran arahan caca marba dalam Operasi Hapus yang dipanggil mereka.

Kata pihak atasan, menggempur kubu pengganas komunis. Kemudian berlaku sebaliknya. Yang di kepung, rumah orang kampung. Kemudian cerita ditukar lagi. Kata mereka menangkap penjenayah berbahaya, pengganas dan guru ajaran sesat bernama Ibrahim Libya.

Hasil daripada kecelaruan, kebuasan dan kecuaian pemerintah ketika itu, kampung itu dilanggar musibah. Ibrahim terbunuh bersama 13 lagi pejuang Memali. Manakala empat anggota keselamatan juga turut terkorban. Beberapa orang terkena tusukan guli dan libasan pedang. Empat pejuang cedera parah. Lebih 100 disumbat kedalam penjara. 36 lagi disimpan di Kem Tahanan Kamunting, Taiping.

Tidak cukup dengan itu, seoarang saksi kejadian Idris Husin sudah tidak boleh menjalani kehidupannya seperti biasa. Dia hilang ingatan dan trauma tragedi masih terbayang. Idris tidak boleh mendengar riuh rendah orang ramai, bunyi siren kereta peronda dan apa jua letupan mahupun bunyian bising. Dia akan menggigil. Dia semakin menyendiri dan beberapa tahun lalu, Idris pula menemui Illahi dalam keadaan menderita sepi.

Lebih pilu dan sayu sepanjang hayat, peristiwa sedih itu meninggalkan puluhan anak-anak yatim beserta balu-balu yang tidak sempat meraih kasih mesra insan tersayang dan tercinta. Setiap hari bersulam duka dan mendodoi anak-anak kecil, dengan zikir dan doa bertemu ayah di syurga.

Tidak lama kemudian, Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim sudi mencemar duli, menyumbang 13 batu nisan secara peribadi dan menyirami kubur yang penghuninya adalah rakyat jelatanya sendiri.

Di kaca TV, satu rakaman ditayangkan di seluruh negara tentang kejadian itu. Seorang bekas Menteri sedang menceritakan sesuatu yang tidak difahami oleh seoarang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun ketika itu.

Dia sedang menonton bersama ayah, ibu dan adiknya yang sedang merengek manja. Babak anggota keselamatan menembak seorang lelaki yang berdiri tegak sambil menjulang senjata parang, terus mengejutkan budak itu lantas bersuara.

"Ayah, kenapa pakcik tu kena tembak?" Lantas ayahnya bingkas bangun masuk ke bilik tanpa sebarang kata. Dia melihat ibunya pula, yang juga tidak bernada kecuali air mata yang berjurai banyaknya.

Saya ketika itu tertanya-tanya dan 25 tahun kemudian saya sudah berada di bumi Memali, mencari satu jawapan yang pasti. Bersama rakan, Muhammad Zaki, kami berdua menjejaki pejuang Memali di suatu pagi yang bening.

Sebenarnya, setelah diperkenalkan orang kampung, kami menemui ramai pejuang Memali namun enggan ditemubual. Ada yang cukup malu dan ada yang tidak mahu membuka luka lama. Sukar asalnya hajat kami berdua untuk menyingkap kisah sejarah perjuangan orang terdahulu. Bermula pagi, sehinggalah tengahari, barulah kami berdua berjaya memujuk seorang pejuang Memali.

Beliau ialah Abdullah Che Soh, yang terkena 7 das tembakan peluru hidup namun dizin Allah masih bernyawa. Kini, Abdullah yang dikenali Pak Tam, 60 tunduk merenung lantai, sambil mengamati semula satu persatu kisah sayu itu.
"Allah telah mentakdirkan saya hidup untuk menceritakan semula kisah sedih ini "Setelah cedera , saya di bawa ke hospital untuk dibedah. Tangan saya masih bergari walaupun parah. Setelah dibedah, saya disumbat ke dalam penjara selama lima bulan.

Kemudian, sambil tersenyum memandang saya, sambil berkata tenang:"Saya tidak menyesal apa yang berlaku malah bersyukur terpilih untuk terlibat dalam perjuangan ini,"katanya sambil menunjukkan parut-parut di badan kesan tujuh tembakan peluru.

Itu kisah Pak Tam. Dan banyak lagi cerita yang tak terungkap. Kajang kertas ini tidak cukup menampungnya. Dari kisah semangat api yang tinggi, sehinggalah cerita pedih di hati. Ada yang boleh dicebis tetapi banyak yang terpaksa disisip rapat, agar fitnah yang sedang tidur tidak terus bangkit. Namun bagi yang ingin menyusuri, datanglah ke bumi ini, Pastinya tidak menghampakan. Hadirlah ke sini 18 November akan datang, untuk lebih mengenali pejuang-pejuang dan kisah sejati di sini.

Kami kemudian bersua dengan Timbalan Mudir Madrasah Islahiah Diniah Ustaz Yusof Che Mit, antara yang begitu dikehendaki bersama Ustaz Ibrahim dan. dia sebenarnya pada hari kejadian, berada di Kelantan.

Beliau agak hairan mengapa Ibrahim ingin ditahan. Katanya dia seoarang yang cukup dekat di hati masyarakat setempat. Sentiasa mengajar masyarakat agar tauhid dan bertakwa kepada Allah melalui kuliahnya.

Boleh bermain guli dengan sicomel kanak-kanak kampung atau sepak takraw bersama para pemuda di Memali. Pengaruhnya yang besar telah melonjak namanya dan juga PAS yang perjuangannya berlandaskan Islam.
Akibat itu, cemburu membungkam mata, menutup kebenaran kata dan gerak gaya lantas fitnah bermaharajalela menuduh As-syahid Ibrahim Libya pengganas, penjenayah dan guru ajaran sesat yang perlu ditangkap. Dan ISA sentiasa mengintai untuk menahannya dari sehari ke sehari.

Melihatkan kepada latar belakangnya, agak aneh tuduhan yang dilemparkan. Bermula dari pendidikan Islam asuhan ayahandanya Tuan Haji Mahmood seorang guru agama yang disegani dan kemudiannya ke Madrasah Khairiah Pokok Sena.

Assyahid meneruskan pengajian di Pusat Pengajian Tinggi di Nilam Puri untuk beberapa tahun sebelum belayar ke Lucknow dan Durban, India mendalami hadis. Beliau sempat berguru dengan tokoh ulama Islam tersohor di abad ini iaitu Maulana Sayyid Abul Hassan Ali Nadwi. Assyahid berada selama lebih kurang empat tahun di India sebelum melanjutkan pengajian ke Azhar, Mesir kemudian menamatkan pengajiannya di Libya..As-syahid kembali ke tanahair awal tahun 1970an, beliau berkhidmat di Jabatan Perdana Menteri sebagai Timbalan Pengarah di Institut Dakwah Islamiah Malaysia. Sebagaimana telah dijangka bahawa assyahid tidak sanggup berada lama di bawah ikatan pemerintah yang tidak berpaksi kepada tuntutan agama, lalu meninggalkan segala kedudukannya untuk balik ke kampung halaman mencurahkan bakti sebagai pendakwah, pendidik dan bergerak aktif dalam politik Islam.

Dan selepas itu, sejarah hitam membaluti Kampung Memali. Dan terkenang dan meninggalkan kesan sehingga kini. Ibrahim syahid ketika mempertahan agama Allah.

Setelah menemubual beberapa orang pejuang, saya dan Zaki melepaskan lelah di sebuah warung di hujung kampung. Rupanya pemilik warung minuman yang bersih itu, seorang wartawan sambilan Harakah era Memali dikenali sebagai Tarmizi.

Beliau sempat bercerita tentang serban milik Azmi yang pernah membalut tubuh Ustaz Ibrahim yang berlumuran darah akibat tembakan peluru. Katanya lima bulan selepas kejadian, serban yang itu mencebiskan bau yang cukup harum selama dua minggu sehingga ramai yang datang melawat melihat kejadian aneh itu.

"Pergilah balik ke rumah Azmi untuk lihat tinggalan sejarah....serban tu," katanya kepada kami berdua yang kemudiannya tanpa lengah menuju semula ke rumah pemilik serban itu.

Dan kira-kira jam 1.00 pagi, barulah Azmi mengeluarkan serban yang sudah 25 tahun disimpan kemas tanpa dibasuh darahnya yang kini masih jelas kelihatan. Setelah menemuduga tujuh saksi sehingga jam 3.00 pagi, kami kemudian melabuhkan badan dan melelapkan mata di bilik Madrasah tersebut, sambil diselimut sejuk malam.

Keesokan paginya kami bertemu dengan Abdul Rahim yang membawa kami melihat kesan-kesan lubang peluru yang menghujani sebuah pondok kecil yang terletak dalam laman rumah arwah Ibrahim Libya.

Ketika itu balu almarhum Hajjah Solehah tiada hanya tinggal anak lelaki as-syahid yang membawa kami meninjau ke dalam rumah yang sudah diubah suai. Hanya bahagian atas rumah, masih kekal seperti sedia kala, dan bayangan huru-hara tembakan tak bermata dan laungan kalimah Allah, menerpa ke fikiran tatkala saya memandangnya.

Pagi nan hening itu, kami menyedut sedalam-dalamnya udara bersih laman, tempat berlakunya bertempuran dan merenung sejenak, peristiwa tumpah darah yang tak berjiwa itu. Sebak, tragedi 25 tahun ini masih membekas.
Ya, tidak lama lagi, bermula 19 November akan datang, kawasan sekitar medan tempur dan Kampung Memali ini akan kembali hiruk pikuk dengan sambutan umat manusia.

Bukan lagi untuk mengadap atau mengharung hujan peluru dan kepulan asap putih yang kemudiannya meragut nyawa, tetapi riuh dengan kehadiran gelombang limpahan para pejuang taat setia kepada perjuangan Islam.

Hadir dan datangnya mereka untuk mengutip kembali semangat yang bertebaran di bumi Memali untuk selama-lamanya.
Jangan lupa untuk menjengah perkampungan sejarah ini pada 19 November ini sempena Sambutan 25 tahun peristiwa Memali. Salam perjuangan!

Oleh : AZAMIN AMIN
READ MORE - DARIPADA HIDUP BERCERMINKAN BANGKAI - IBRAHIM LIBYA

2/23/2011

12 jaminan PAS untuk malaysia baru

SHAH ALAM, 19 Feb: PAS dalam usahanya mewujudkan sebuah Malaysia Baru yang mengangkat martabat kaum Melayu dan Islam, hari ini memberikan jaminan istimewa terhadap dua belas perkara untuk rakyat Malaysia.

Dua belas jaminan ini terkandung dalam resolusi Konvensyen Nasional Pengupayaan Bangsa; Jaminan PAS yang berlangsung sehari di Auditorium MBSA, dekat sini.

Berikut adalah dua belas resolusi yang dibentangkan oleh Naib Presiden PAS selaku Pengarah Konvensyen, Datuk Mahfuz Omar.PAS sebagai sebuah parti politik yang berteraskan Islam memberi jaminan bahawa:

1. PAS tetap komited untuk melaksanakan agenda pengupayaan bangsa Melayu dan Bumiputera berteraskan prinsip-prinsip di atas;

2. PAS akan terus mempertahankan kedaulatan Raja-raja Melayu dan kepentingan bangsa Melayu dan Bumiputera seperti yang telah termaktub dalam Perlembagaan Malaysia;

3. PAS tetap beristiqamah untuk menghayati Islam sebagai satu cara hidup sesuai dengan kerangka perlembagaan Malaysia sebagai teras terpenting usaha mengupayakan Melayu;

4. PAS akan sentiasa memastikan seluruh kegiatan pembangunan bangsa Melayu berkiblatkan akhirat demi mencapai keredhaan Allah;

5. PAS tetap mengutamakan perjuangan untuk membela nasib rakyat terpinggir dan berpendapat rendah yang sebahagian besarnya adalah kaum Melayu dan Bumiputera;

6. PAS akan terus mempertahankan konsep ketuanan rakyat yang berpaksikan keadilan Islam dengan jaminan saksama kepada kaum-kaum lain;

7. PAS tetap memperjuangkan dasar-dasar affirmative yang berasaskan siapa yang berkeperluan (need based) sesuai dengan matlamat keadilan Islam;

8. PAS akan terus komited untuk menampilkan kepimpinan Melayu yang bebas rasuah dan penyelewengan di semua peringkat kepimpinan bermula dari kepimpinan Negara sehingga kepimpinan komuniti;

9. PAS tetap mempertahankan tanah-tanah rizab Melayu, tanah-tanah adat, kampung-kampung tradisi dan penempatan-penempatan yang mempunyai kepentingan Melayu dan Bumiputera seperti Felda, malah berusaha menjadikannya sebagai penyumbang terpenting kekuatan ekonomi Melayu;

10. PAS akan terus mempertahankan warisan Melayu selagi mana tidak bertentangan dengan syarak, sebagai khazanah penting kepada generasi Melayu akan datang;

11. PAS tetap mempertahankan pendidikan vernakular yang telah memberi ruang kepada kewujudan sekolah agama rakyat, madrasah dan sekolah pondok, di samping tidak menolak kepentingan elemen integrasi nasional diterapkan dalam sistem pendidikan dan;

12. PAS akan terus berusaha memasakkan jatidiri berteraskan Islam kepada generasi muda Melayu kerana mereka merupakan teras kepada pengupayaan bangsa Melayu dan waris kepimpinan akan datang.

Sementara itu dalam ucapannya, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, dasar dan pendekatan Pengupayaan Bangsa - Jaminan PAS telah dibentangkannya untuk tatapan semua."Masa telah sampai untuk kita menggemblengkan seluruh tenaga dan sumber bagi mengangkat martabat umat Islam, mendayakan bangsa Melayu dan melahirkan Politik Lita'arafu yakni Politik Saling Menghormati."Semua usaha ini adalah bagi melahirkan sebuah Malaysia baru yang menjunjung tinggi tuntutan Keadilan dan Kesejahteraan Untuk Semua yang bebas rasuuah, kezaliman dan penyelewengan kuasa.

Mursyidul Am PAS, Datuk Bentara Setia Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat turut berucap merasmikan konvensyen dengan memberikan penekanan terhadap peri pentingnya masyarakat negara ini diberi kefahaman paling tepat dan memudahkan.Semua wakil PAS kawasan daripada seluruh negara hadir dalam konvensyen sehari yang turut menampilkan ramai tokoh antaranya; Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, Budayawan dan Cendikiawan terkenal, Prof Emiritus Dr Abu Bakar Abdul Hamid dan Presiden Teras, Haji Mohd Azmi Abdul Hamid.
Turut mendapat perhatian adalah ucapan dan pandangan daripada Setiausaha Agung Keadilan, Saifuddin Nasution Ismail termasuk AJK PAS Pusat, Datuk Kamarudin Jaffar dan Pakar Sains Politik dan Aktivis Sosial, Dr Wong Chin Huat.

Sebelum ini, Pakatan Rakyat mengemukakan Buku Jingga mengandungi sepuluh perkara jaminan terdiri daripada mereformasikan institusi-institusi penting negara seperti SPR, SPRM, pejabat Peguam Negara dan PDRM untuk mengembalikan kewibawaan kepada sistem pentadbiran kerajaan.

Jaminan itu juga meliputi Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), mengarahkan Khazanah Berhad, KWSP dan lain-lain badan milik kerajaan yang memiliki konsesi lebuhraya untuk menyempurnakan ambil alih aset lebuhraya oleh kerajaan dengan tujuan menghapuskan tol;
Merombak struktur subsidi negara bagi mengurangkan subsidi kepada pihak swasta seperti gas sebanyak RM19 bilion kepada penjanan bebas dengan memindahkannya bagi menampung perbelanjaan subsidi rakyat;

Mengiktiraf peranan dan jasa awam dengan mengkaji semula struktur gaji bermula dengan menaikkan imbuhan perguruan sebanyak RM500 sebulan setiap seorang guru sebagai penghargaan guru mendidik bangsa;

Menjadikan air sebagai hak rakyat dengan mengembalikan semua konsesi pengurusan air yang diuruskan swasta kepada kerajaan;
Menyediakan perkhidmatan internet wi-fi percuma kepada semua rakyat di kawasan bandar dan separa rakyat;

Membatalkan Felda Plantations bagi tujuan membuka ladang-ladang yang kini diuruskannya kepada generasi kedua dan ketiga Felda dan;

Menaikkan royalti minyak kepada Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan kepada 20 peratus dan menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyelesaikan kemelut pendatang tanpa izin dan kerakyatan di Negeri Sabah.

sumber harakahdaily.net
READ MORE - 12 jaminan PAS untuk malaysia baru

PAS kutuk pembunuhan rakyat Libya

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 22 Feb: PAS mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kejam pembunuhan ke atas ratusan rakyat Libya dan meminta
Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) campur tangan segera.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, rakyat Libya yang tidak bersenjata telah turun ke jalan raya menuntut hak mereka yang dinafikan selama puluhan tahun.

Tambahnya, tindakan pihak keselamatan kerajaan di bawah pimpinan pemimpin Libya, Muammar Gaddafi yang telah menggunakan senjata berat ke atas rakyat yang menunjukkan perasaan mereka adalah tindakan tidak bertamadun dan tidak patut berlaku pada zaman moden ini.
Justeru, katanya masyarakat antarabangsa, yang bermati-matian mempertahankan hak asasi manusia, demokrasi dan perundangan antarabangsa wajar untuk memberikan tekanan kepada kepimpinan negara Libya.

Ini, tegasnya agar kepimpinan negara itu menghentikan segera kezaliman berkenaan dan menubuhk
an badan siasatan bebas bagi menyiasat pembunuhan itu bagi memberi keadilan kepada mangsa-mangsa pembunuhan tentera dan polis Libya.

“Kepimpinan Libya yang telah menyekat hak rakyat selama puluhan tahun ini pula wajar untuk melepaskan jawatan dan mengembalikan demokrasi yang tulen kepada rakyat,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

PAS, tegasnya bersama dengan gerakan Islam juga menyeru agar dunia barat tidak memandang serong terhada
p peranan gerakan Islam dalam melakukan perubahan secara demokrasi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menambah, dunia barat juga tidak wajar mengamalkan sikap double standard dalam mencadangkan penyelesaian kemelut di Asia Barat.


Ini, katanya kerana tindakan meminggirkan peranan gerakan Islam yang ingin bersama rakyat untuk melakukan perubahan secara demokrasi akan hanya merumitkan lagi penyelesaian ke arah keamanan sejati.


Menurut lapor
an, pasukan keselamatan bertindak ganas menembak ribuan penunjuk perasaan dan mereka yang menyertai perarakan pengebumian di timur bandar Benghazi berikutan kebangkitan rakyat

Kejadian itu menyebabkan 60 terbunuh pada Ahad saja, menurut doktor di sebuah hospital.
Sejak kebangkitan itu bermula, 233 penduduk Libya terbunuh, menurut pegawai perubatan, kumpulan hak asasi manusia dan pembangkang.

Di Kota Benghazi, penunjuk perasaan menguasai keadaan dan mengambil alih pejabat keselamatan utama selepas pertempuran membunuh 60 lagi penduduk.

Tindakan Libya terhadap penunjuk perasaan itu dikatakan yang paling keras antara negara Arab, berbanding bantahan yang menggulingkan pemimpin Tunisia dan Mesir.
OIC diminta bersidang segera

Sementara itu, Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antabangsa PAS, Dr Syed Azman Ahmad Nawawi (gambar) dalam kenyataannya pula mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan beramai-ramai yang sedang berlaku di Libya sekarang ini.

Beliau juga berkata, PAS bersama rakyat Libya yang mahukan keadilan dan kebebasan.

Sehubungan itu, katanya, PAS meminta semua pihak membuat gesaan agar kerajaan Malaysia pimpinan Datuk Seri Najib Razak mengutuk pembunuhan rakyat Libya oleh regim Gadaffi.
Beliau juga berkata, PAS meminta agar kerajaan Malaysia membekukan hubungan diplomatik segera dengan Libya.

Beliau juga menggesa agar Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) segera bersidang untuk menghantar pemerhati dan pengaman ke sana.

"PAS doakan kejayaan rakyat Libya dan bebaskan negara mereka dari kekejaman pemerintah Ghadafi yang didokong dan dilindungi kuasa besar Barat khususnya Amerika syarikat, Italy dan Britain kerana kepentingan minyak dan Gas," katanya dalam kenyataan itu.

READ MORE - PAS kutuk pembunuhan rakyat Libya

Beza antara "bodo" dan "gila"

Seorang kawan, Zul menukar tayar keretanya yang pancit di sebelah pagar satu hospital gila terkenal tanah air. Nasib baik hari masih pagi, segar dan nyaman menghilangkan rasa letih dan geram kena buat kerja lebih awal pagi.

Sedang membuka skru satu demi satu kelihatan seorang pesakit lelaki datang ke tepi pagar lalu duduk mencangkung melihat Zul buat kerja. Dia hanya diam saja sambil melihat dengan penuh minat.

Satu demi satu skru dipulas dan di cabut lalu diletakkan di tebing longkang yang ditutup dengan besi, tanpa menghiraukan penonton yang seorang tersebut. "Ada juga teman" katanya dalam hati. Habis semua skru dibuka, Zul mencabut tayar yang pancit. Terlajak cabut dia tersepak semua skru habis jatuh di celah besi masuk ke dalam longkang.

Dia letakkan tayar di sebelah dan mula menghendap-hendap dalam longkang mencari skru yang terjatuh tadi. Dicubanya angkat penutup longkang terasa berat, lalu dia duduk mencangkung sambil menggaru kepala, "macam mana nak buat ni ?" tanya Zul dalam hati.

"Skru jatuh ka abang?", tanya orang gila yang asyik mencangkung dari tadi memecahkan kesunyian. Zul memusingkan mukanya melihat pesakit tersebut. Serius saja dia bertanya dan menantikan jawapan dari Zul.

Melihat keseriusannya, Zul menjawab juga, "ya!, kacau ni, macam mana nak pasang tayar?", rungut Zul.

"Abang..abang !" panggil orang gila tu lagi. "hah ! ada pa pulak?" jawab Zul.

"Kereta ada berapa tayar bang?" tanya orang gila tu lagi. "Empat biji la !" jawab Zul

"Satu tayar ada berapa skru bang?", tanyanya lagi penuh minat. "Empat", jawab Zul ringkas.

"Oooo!, abang ambil la tiap satu tayar satu skru, pasang kat tayar tu, jadi la satu tayar 3 skru semua, selesai masalah!" syor orang gila tu

"Ya tak ya jugak, pandai jugak hang ni ! tapi macam mana hang boleh ada kat sini?" hairan Zul dibuatnya.

"Saya bukan bodo bang !, tapi saya gila, sebab tu orang letak saya kat sini" jawab orang gila tu selamba lalu beredar dari situ.

Zul hanya diam mendengarnya. Ada beza antara gila dengan bodoh.
READ MORE - Beza antara "bodo" dan "gila"

'kali ini aku bersedia berjuang dengan PAS"

Oleh BOB LOKMAN

Setelah aku melalui segala jalan syahwat, ALLAH memberikan aku gambaran AKHIRAT. Maka aku mula berjalan mencari kebenaran dan semalam 16 Rabi'ul awal, aku melangkah masuk kedalam gerbang hijau yang bertonggakkan Ulama' yang sangat ditakuti oleh pencinta dunia. Mengalir airmata bila borang ahli disambut oleh Datuk Seri Ustaz Azizan Abd Razak, Menteri Besar Kedah.

Biar pun aku bukan sesiapa di kalangan orang PAS, tapi aku dapat merasakan kehangatan persaudaraan yang dihulurkan oleh mereka.

Aku menjadi insaf di kalangan anak2 muda PAS yang rugged tapi ikhlas dalam perjuangan dan aku merasa amat malu diperhatikan oleh mereka bilamana aku merasa seperti seluruh hidup aku sebelum ini diselubungi syahwat keduniaan hingga aku merasa aku teramat tua dikalangan mereka.

Terlintas juga dibenakku, mungkin kerana anak2 muda inilah orang bijak pandai seperti Mahathir menolak PAS.

Biarlah tua, biarlah bertongkat, tapi sekarang aku tahu ALLAH maha pengampun dan penyayang.

Maka oleh kerana itu aku akan patuh kepada kehendak ALLAH dalam ayat 104 Surah Aali-Imran. PAS akan aku jadikan wadah perjuangan utk mempopularkan ALLAH kepada mereka yg belum kenal akan kekuasaanNYA. Aku jadi insaf betapa aku yg lahir dalam keluarga Islam keturunan Ulama', terabai dengan kefahaman Islam yang pernah diterapkan kedalam jiwaku.

Apatah lagi mereka yang tidak pernah tahu mengenai Islam, bagaimana mereka akan merasa takut pada ALLAH. Untuk itu sekali ini aku akan terus bercerita kepada sesiapa sahaja sesuatu yang membuatkan mereka bertaqwa kepada ALLAH.

Lagikan setiap ibu bapa sayangkan anak2 yg dilahirkan, inikan pula ALLAH yg menciptakan kita dan segalanya. Biar pun Iblis dan yahudi memang dilaknat oleh ALLAH, namun satu masa dahulu mereka adalah hamba ALLAH yg baik. Selepas itu dengan takdir ALLAH mereka dijadikan sebagai contoh buruk kepada sesiapa yg tidak bertaqwa kepada ALLAH.

Ini Kuasa ALLAH. Kalau tiada keburukan kita tidak pandai menilai kebaikan sebagai mana kalau tiada ketaqwaan maka tiadalah kita mengerti bahawa ALLAH itu maha diatas segalanya.

Hari ini bila jiwa berada di dalam PAS, ada satu semangat baru yang membuatkan aku berfikir mengapa ALLAH menjadikan aku. Pagi tadi bila ada member2 yang bertanya, mengapa aku menganut PAS, aku tahu bahawa aku sudah diterima untuk bekerja oleh ALLAH.

Inilah masanya untuk berubah dan mengubah sebahagian besar kenalan, kepada jalan baru bagi mereka yang fasiq. Belum ramai yang menerima Islam sebenar. Kalau tidak sudah tentu Malaysia diperintah oleh Ulama'.

Masalahnya siapa yang Islam dalam orang Melayu? Untuk mereka yang mencari jawapan bacalah Sirah Rasulullah berulang kali, maka kita akan nampak siapa Abu Bakar, siapa Abu Jahal dan siapa Abdullah bin Ubai dalam bangsa Melayu. Kerana itulah aku memohon utk masuk PAS.

Lepas ni kita akan baca ada yang marah dengan apa yang aku kata. Itu biasa, sebagaimana ada orang yang marahkan harimau membunuh lembu. Ini kerana kita tidak mengerti SUNNATULLAH. Kalau kita susah di dunia, kita lupa bahawa itu kehendak ALLAH, apatah lagi bila kita mewah.

Sudah berkali-kali PAS kalah dalam pilihanraya. Memang susah nak menang kerana ini bukan perang Badar dimana Malaikat juga turun berperang dengan perintah ALLAH.

Janganlah mengharapkan Malaikat turun beratur di pusat2 mengundi yang diadakan oleh suruhan jaya pilihan raya yang tidak mengikut suruhan ALLAH.

Ini demokrasi omputeh yang memberikan peluang kemenangan kepada org yang mempunyai syahwat duniawi. Kerana itu perlunya kita memperkenalkan Islam adalah sistem terbaik untuk mentadbir dunia kepada manusia Malaysia.

Ini adalah kerana ramai manusia lupa bahawa ALLAH yg mencipta dunia dan hanya hukum ALLAH sahaja yg sesuai dilaksanakan. Mereka yg menolak selalunya mereka yg tidak tahu apa hukum ALLAH.

Selalunya mereka ditakutkan oleh yahudi yg memang mengetahui apa isi Al Quran dan mereka telah tahu lebih awal melalui Taurat bahawa Islam itu perfect dan mereka tidak mahu kita menjadi ummat Muhammad. Maka kita akan luput dari mendapatkan Syufaat Rasul dipadang Mahsyar nanti.

Dan kali ini aku bersedia utk berjuang dengan PAS, dan aku bersedia untuk kalah setelah menjalankan segala syarat2 perjuangan.

YA ALLAH, BERIKAN KEMENANGAN KEPADA PAS, SEKIRANYA MEREKA LAYAK UNTUK MENERIMA HADIAH KEMENANGAN DARI MU, DEMI ISLAM BERKEMBANG SUBUR DI BUMI MALAYSIA YG DULU TERIKAT DGN PERIKATAN DAN KINI KAKU DALAM BARISAN.

http://boblokman.blogspot.com/
READ MORE - 'kali ini aku bersedia berjuang dengan PAS"

PERAGUT TERBUNUH DALAM LONGKANG



AMPANG: Seorang peragut yang kelam-kabut melarikan diri sejurus meragut beg tangan seorang wanita, terbunuh manakala rakannya parah selepas motosikal dinaiki merempuh kereta mangsa yang ketika itu nekad mengejar penjenayah terbabit di Taman Mega Jaya, Bukit Teratai di sini, semalam.

Tindakan berani arkitek wanita berusia 28 tahun yang juga anak bekas pegawai polis itu membuatkan dua lelaki terbabit panik sehingga mereka masuk ke laluan jalan mati di taman berkenaan sebelum berpatah balik dan merempuh kereta mangsa yang mengejar mereka.



KEMEK...keadaan kereta mangsa.


PECAH...motosikal dinaiki kedua-dua penjenayah.


ANGKAT...anggota bomba dan paramedik mengangkat suspek.


MANGSA...Amiruddin (kiri) berbincang dengan mangsa ragut, semalam.

Akibatnya, kedua-dua lelaki terbabit terpelanting ke longkang menyebabkan seorang daripada mereka maut di tempat kejadian selepas kerandut zakarnya pecah, manakala rakannya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Ampang.

Kejadian berlaku kira-kira jam 9 pagi ketika mangsa sedang bersiap ke tempat kerja dan sejurus keluar dari kereta untuk menutup pintu pagar, dua lelaki terbabit meragut beg tangannya yang diletak di tempat duduk hadapan.


Mangsa cuba melawan, tetapi dia ditendang sehingga terjatuh.



Sebaik melihat mangsa terjatuh, kedua-dua lelaki terbabit melarikan diri, namun mangsa yang berang mengejar suspek.

Mangsa yang sudah biasa dengan laluan di kawasan itu memberhentikan keretanya di persimpangan jalan kira-kira 200 meter dari rumahnya selepas melihat lelaki terbabit melalui jalan mati.

Ketika itulah, lelaki yang panik berpatah balik dan memecut laju motosikal berikutan laluan terbabit agak berbukit sebelum mereka merempuh kereta mangsa.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, rempuhan kuat itu menyebabkan suspek terpelanting dan tercampak ke longkang.

“Kedua-dua suspek berkenaan warga Indonesia dan lelaki yang mati itu berusia 35 tahun manakala rakannya yang parah berusia 24 tahun.

“Siasatan polis mendapati, suspek menggunakan motosikal curi dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun dan Seksyen 41 (1) A Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, bapa mangsa, Mahyudin Zakaria, 59, berkata, dia hanya menyedari anaknya diragut apabila terdengar jeritan di luar rumah.

Katanya, dia yang bimbang sesuatu berlaku ke atas anaknya bergegas ke luar rumah dan melihat anaknya tergesa-gesa menaiki kereta lalu mengejar lelaki terbabit.

“Saya mengekori anak dengan menaiki kereta kerana bimbang keselamatannya.

“Bagaimanapun, ketika tiba di tempat kejadian, saya melihat suspek sudah berada di dalam longkang dan mengalami kecederaan parah akibat merempuh kereta anak yang berhenti di simpang jalan,” katanya.

Read more: http://biaqpila.blogspot.com/2011/02/kaki-ragut-terbunuh-di-dalam-longkang.html#ixzz1EiHH3l5P
READ MORE - PERAGUT TERBUNUH DALAM LONGKANG

2/22/2011

MENGAPA BOB LOKMAN SERTAI PAS




















READ MORE - MENGAPA BOB LOKMAN SERTAI PAS

BOB LOKMAN SERTAI PAS

Pelakon dan pelawak Bob Lokman,47, hanya akan menerima watak-watak yang lebih bermanfaat dalam dunia lakonan selepas membuat keputusan menyertai parti pembangkang iaitu Pas.

Bob atau nama sebenarnya Mohd Hakim Lokman berkata, dia mahu memilih watak yang tidak mendatangkan dosa apabila sudah meninggal dunia kelak.

“Ikut pandangan ustaz-ustaz yang saya belajar, kita (saya) tak ada sumber cari makan bidang lain, jadi kemahiran kita berlakon, ustaz kata pilih watak jangan jadikan dosa bila kita tak ada di dunia ini. Carilah watak-watak yang mendatangkan manfaat,” katanya seperti dipetik dalam laman portal tvpas.com yang disiarkan menerusi youtube, Isnin.


Menerusi portal berita TV itu, Bob Lokman turut dilihat menyerahkan borang sebagai Ahli Pas kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abd Razak pada majlis Himpunan Pemuda Pas yang diadakan di Kota Sarang Semut, Kedah pada Sabtu lalu.

Kata Bob Lokman, anaknya mempunyai maslah dalam sistem kehidupan termasuklah sistem persekolahan, pergaulan dalam masyarakat sekarang ini.

Atas perkara itu dia bimbang anaknya akan terpengaruh dengan perkara-perkara negatif di luar sana sehingga menyebabkan seseorang itu merasakan dirinya hebat dan bangga diri.

“Masa saya muda dulu saya tak sedar sebab saya muda. Sekarang saya rasa ada tanggungjawab pada anak,” katanya.


IKUTI KISAHNYA;

http://mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2011/2/22/mstar_hiburan/20110221214011&sec=mstar_hiburan

READ MORE - BOB LOKMAN SERTAI PAS

DI DALAM

get this widget here

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...